PARIT BUNTAR: Lapan tahun tanpa kalah - itulah rekod yang dipegang pasukan bola sepak Menteri Besar Perak dalam mana-mana perlawanan baik di padang berlumpur atau stadium.
Ternyata, sengatan veteran masih berbisa apabila dalam perlawanan persahabatan bola Sepak apabila pasukan Menteri Besar membelasah Kelab Rekreasi dan Sukan (SRCC) Ipoh 4 - 0.
Rata-rata kesebelasan utama pasukan MB terdiri daripada pemain berusia lebih 45 tahun, namun jelas masih mampu menundukkan pasukan belia pihak lawan.
Aksi babak pertama dimulakan dengan rembatan kemas Chee Wan Hoe pada minit ke-17 yang membolosi pintu gol hasil lorongan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Ia kemudiannya diteruskan dengan jaringan padu Dr Zambry sendiri pada minit ke 20 yang berjaya menembusi pertahanan kelab SRCC itu dengan tangkas.
Seminit sebelum wisel perlawanan ditiupkan, Datuk Azhar Ahmad sempat mencuri peluang menjaringkan satu gol melalui sepakan kemas ke pintu gol lawan.
Tidak cukup dengan asakan itu, SRCC cuba untuk menjaringkan beberapa cubaan namun gagal untuk memecahkan benteng kemas penjaga gol pasukan Menteri Besar.
Gol penamat dijaringkan sekali lagi oleh Tok Ar' menjelang suku ketiga permainan yang meranapkan harapan SRCC untuk cuba bangkit semula.
Riuh rendah kanak-kanak yang hadir menjadi tukang sorak di padang bola sepak SMK Panglima Bukit Gantang itu turut menceriakan aktiviti riadah yang diadakan pada hari ketiga Pemukiman Daerah Kerian tersebut.
Menurut Jurulatih pasukan Menteri Besar, Mohamed Zainal Mohammad, perlawanan 90 minit itu memaparkan aksi lincah veteran pemain berpengalaman yang saling mengasak ke gawang gol.
"Sepanjang perjalanan saya membimbing pasukan MB Perak, kita telah membenamkan kebanyakan pasukan negeri malah turut melakar mata seri menentang pasukan kebangsaan Singapura," katanya kepada Suara Perak.
Zainal berkata, beliau turut berasa bangga dalam perlawanan menentang Pahang 4-0 pada bulan lepas dan berharap momentum pasukan veteran itu terus melonjak naik.
0 comments:
Post a Comment